Pages

Followers


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, December 18, 2010

“Kenapa hatimu berubah?” kata si isteri.



“Kenapa hatimu berubah?” kata si isteri.

Sebahagian Isteri, selepas beberapa tahun berkahwin, akan rasa seperti suaminya sudah tidak tertarik padanya. Sudah tidak seperti masa mula-mula dahulu. Ada yang mula sangka diri sudah tidak menarik, ada yang mula fikir suami ada “buka cawangan” baru. Ada juga yang mula rasa suami sudah tidak sayang padanya lagi. Ada yang beranggapan suami mula sibuk berkerja kerana tanggung jawab semakin besar. Ada yang sememangnya tahu apa yang telah berlaku sehingga sedar hakikat “tidak seperti dahulu” itu. Dan pelbagai lagi sangkaan yang sebahagiannya positif dan sebahagiannya negatif.

Dalam keadaan seperti ini, ada pihak yang akan cuba mengambil kesempatan untuk merosakkan institusi kekeluargaan tersebut. Dan ada juga yang mula mengambil kesempatan lain seperti dengan menjual produknya agar si isteri kelihatan lebih menarik, dan pelbagai lagi agar suami “kembali tertarik”. Dan apabila ditanya kepada si suami kenapa sudah lain, seperti tidak menyayanginya (isteri) lagi, sering kali jawapan yang dikeluarkan “mana ada tak sayang, awak sahaja yang rasa tak sayang” atau seumpamanya, menyebabkan si isteri lebih tertekan kerana respon yang diberikan bukan sahaja tidak menyelesaikan ketegangan di hatinya, malah menambah kesakitan. Mana taknya, dia pula yang disalahkan.

Hakikatnya, bukan si isteri sudah tidak cantik, masih cantik. Bukan si isteri sudah tidak menawan, masih menawan. Bukan si isteri tidak menarik, tetapi sebahagian dari puncanya ialah perasaan “sudah memiliki” yang ada pada si suami. Si suami masih lagi sayang kepada si isteri, malah adakala lebih sayang dari awal perkahwinan. Ini kerana apabila sakit si suami tetap melaksanakan tanggung jawabnya. Dan si suami juga tetap berkerja untuk memberi makan, bukan sahaja kepada isteri, tetapi anak-anak. Tetap berkorban dan lain-lain.

Apa yang dimaksudkan dengan “sudah memiliki” tersebut? Bukanlah ia bermaksud sudah memilikinya sebagai seorang isteri. Kita lihat bagaimana keadaan suami ketika mula memasuki alam perkahwinan. Apa yang bermain di dalam hati si suami ialah perasaan “ingin memiliki”. Perasaan ini adalah satu perasaan di mana si suami ingin memiliki hati si isteri. Dia ingin si isteri menyayanginya. Dan dia ingin membuktikan bahawa dia sanggup dan layak untuk memiliki hati si isteri. Apabila seseorang itu berada dalam keadaan ini, maka dia akan berusaha untuk mendapatkan/memiliki sesuatu tersebut. Kata kuncinya ialah berusaha. Dia akan melakukan pelbagai perkara untuk memililki dan pelbagai “pembuktian” akan dilakukan, baik dari kata-kata, mahupun perbuatan.

Namun, selepas si suami melepasi peringkat ini, dia akan memasuki peringkat “sudah memiliki”. Yakni, selepas si isteri telah pun membuktikan bahawa si suami telah memilikinya. Suami mula kurang pada usahanya tadi. Kurang pada pembuktiannya tadi. Kerana itu sepertinya dia tidak lagi menyayangi. Bukan tidak menyayangi, tetapi tidak membuktikan bahawa dia sayang. Dari sudut yang lain pula, si isteri juga telah biasa dengan perkara-perkara yang suami lakukan dan katakan sehingga tidak terasa bahawa dirinya disayangi.

Oleh yang demikian, kepada para isteri, jangan cepat terasa dan berprasangka. Bukan dia sudah tidak cinta, dan bukan juga kerana anda sudah tidak menawan. Anda masih lagi cantik dan menarik (di sisi suami). Cuma keadaan peringkat perasaan suami itu berlainan dan kebiasaan (perasaan sudah biasa) pada anda juga telah mula menapak. Menjadikan perkara yang dahulunya sesuatu yang baru menjadi biasa. Kepada si suami, sedarilah bahawa perubahan pada diri anda ini, membawa kesan kepada emosi isteri anda. Kembalikan perasaan “ingin memiliki” dalam hati anda, agar si isteri tetap rasa disayangi dan agar dia tahu bahawa anda masih perlukannya di dalam hidup anda. Bawalah sedikit kelainan dalam interaksi anda bersama isteri.

Peringkat perasaan “ingin memiliki” ini sangat penting dalam kehidupan. Ia memberi semangat kepada seseorang itu untuk mengejar dan berusaha. Begitulah juga sebagai seorang muslim, kita disuruh untuk menginginkan pengakhiran yang baik di sana. Dan untuk mendapatkannya, hendaklah kita mengejar redha Allah dan mencari syurganya. Maka, jika benar kita ingin memiliki redha Allah dan syurgaNya, pasangkanlah perasaan anda di peringkat “ingin memiliki” terhadap redha Allah dan syurga. Carilah jalan untuk mendapatkannya. Jangan sesekali kita berada di peringkat “sudah memiliki” kerana tiada siapa yang dijamin mendapatinya kecuali mereka yang telah di nyatakan oleh Allah di dalam kitabNya, dan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam Hadith baginda.

No comments:

Post a Comment