Tuesday, December 28, 2010
Sunday, December 19, 2010
Saturday, December 18, 2010
“Kenapa hatimu berubah?” kata si isteri.
“Kenapa hatimu berubah?” kata si isteri.
Sebahagian Isteri, selepas beberapa tahun berkahwin, akan rasa seperti suaminya sudah tidak tertarik padanya. Sudah tidak seperti masa mula-mula dahulu. Ada yang mula sangka diri sudah tidak menarik, ada yang mula fikir suami ada “buka cawangan” baru. Ada juga yang mula rasa suami sudah tidak sayang padanya lagi. Ada yang beranggapan suami mula sibuk berkerja kerana tanggung jawab semakin besar. Ada yang sememangnya tahu apa yang telah berlaku sehingga sedar hakikat “tidak seperti dahulu” itu. Dan pelbagai lagi sangkaan yang sebahagiannya positif dan sebahagiannya negatif.
Dalam keadaan seperti ini, ada pihak yang akan cuba mengambil kesempatan untuk merosakkan institusi kekeluargaan tersebut. Dan ada juga yang mula mengambil kesempatan lain seperti dengan menjual produknya agar si isteri kelihatan lebih menarik, dan pelbagai lagi agar suami “kembali tertarik”. Dan apabila ditanya kepada si suami kenapa sudah lain, seperti tidak menyayanginya (isteri) lagi, sering kali jawapan yang dikeluarkan “mana ada tak sayang, awak sahaja yang rasa tak sayang” atau seumpamanya, menyebabkan si isteri lebih tertekan kerana respon yang diberikan bukan sahaja tidak menyelesaikan ketegangan di hatinya, malah menambah kesakitan. Mana taknya, dia pula yang disalahkan.
Hakikatnya, bukan si isteri sudah tidak cantik, masih cantik. Bukan si isteri sudah tidak menawan, masih menawan. Bukan si isteri tidak menarik, tetapi sebahagian dari puncanya ialah perasaan “sudah memiliki” yang ada pada si suami. Si suami masih lagi sayang kepada si isteri, malah adakala lebih sayang dari awal perkahwinan. Ini kerana apabila sakit si suami tetap melaksanakan tanggung jawabnya. Dan si suami juga tetap berkerja untuk memberi makan, bukan sahaja kepada isteri, tetapi anak-anak. Tetap berkorban dan lain-lain.
Apa yang dimaksudkan dengan “sudah memiliki” tersebut? Bukanlah ia bermaksud sudah memilikinya sebagai seorang isteri. Kita lihat bagaimana keadaan suami ketika mula memasuki alam perkahwinan. Apa yang bermain di dalam hati si suami ialah perasaan “ingin memiliki”. Perasaan ini adalah satu perasaan di mana si suami ingin memiliki hati si isteri. Dia ingin si isteri menyayanginya. Dan dia ingin membuktikan bahawa dia sanggup dan layak untuk memiliki hati si isteri. Apabila seseorang itu berada dalam keadaan ini, maka dia akan berusaha untuk mendapatkan/memiliki sesuatu tersebut. Kata kuncinya ialah berusaha. Dia akan melakukan pelbagai perkara untuk memililki dan pelbagai “pembuktian” akan dilakukan, baik dari kata-kata, mahupun perbuatan.
Namun, selepas si suami melepasi peringkat ini, dia akan memasuki peringkat “sudah memiliki”. Yakni, selepas si isteri telah pun membuktikan bahawa si suami telah memilikinya. Suami mula kurang pada usahanya tadi. Kurang pada pembuktiannya tadi. Kerana itu sepertinya dia tidak lagi menyayangi. Bukan tidak menyayangi, tetapi tidak membuktikan bahawa dia sayang. Dari sudut yang lain pula, si isteri juga telah biasa dengan perkara-perkara yang suami lakukan dan katakan sehingga tidak terasa bahawa dirinya disayangi.
Oleh yang demikian, kepada para isteri, jangan cepat terasa dan berprasangka. Bukan dia sudah tidak cinta, dan bukan juga kerana anda sudah tidak menawan. Anda masih lagi cantik dan menarik (di sisi suami). Cuma keadaan peringkat perasaan suami itu berlainan dan kebiasaan (perasaan sudah biasa) pada anda juga telah mula menapak. Menjadikan perkara yang dahulunya sesuatu yang baru menjadi biasa. Kepada si suami, sedarilah bahawa perubahan pada diri anda ini, membawa kesan kepada emosi isteri anda. Kembalikan perasaan “ingin memiliki” dalam hati anda, agar si isteri tetap rasa disayangi dan agar dia tahu bahawa anda masih perlukannya di dalam hidup anda. Bawalah sedikit kelainan dalam interaksi anda bersama isteri.
Peringkat perasaan “ingin memiliki” ini sangat penting dalam kehidupan. Ia memberi semangat kepada seseorang itu untuk mengejar dan berusaha. Begitulah juga sebagai seorang muslim, kita disuruh untuk menginginkan pengakhiran yang baik di sana. Dan untuk mendapatkannya, hendaklah kita mengejar redha Allah dan mencari syurganya. Maka, jika benar kita ingin memiliki redha Allah dan syurgaNya, pasangkanlah perasaan anda di peringkat “ingin memiliki” terhadap redha Allah dan syurga. Carilah jalan untuk mendapatkannya. Jangan sesekali kita berada di peringkat “sudah memiliki” kerana tiada siapa yang dijamin mendapatinya kecuali mereka yang telah di nyatakan oleh Allah di dalam kitabNya, dan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam Hadith baginda.
Thursday, December 16, 2010
Tak Mampu Kehilangan Cinta | iluvislam.com + discover the beauty of islam
Wednesday, December 15, 2010
Tuesday, December 14, 2010
Monday, December 13, 2010
Duhai Hati, Janganlah Terkorban Dengan Dunia | iluvislam.com + discover the beauty of islam
Saturday, December 11, 2010
Friday, December 10, 2010
Wanita yang Menutup Aurat itu Indah seperti Emas Permata :)
Islam mewajibkan umatnya menutup aurat. Kewajipan ini sepertimana yang terakam dalam surah an-Nur ayat ke 31 yang bermaksud:
''Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya''
Pernah terjadi suatu kisah yang menceritakan tentang seorang gadis bukan Islam yang sangat terpikat dan mengagumi Islam. Dia juga sudah boleh memahami dan menerima segala-galanya tentang Islam kecuali satu perkara.
Mengapa wanita Islam mesti menutup aurat terutama memakai tudung?
Sudah banyak orang yang ditanya oleh gadis itu termasuk ustaz-ustaz dan orang Islam lainnya. Namun dia masih belum dapat berpuas hati dengan jawapan-jawapan mereka semua.
Pada suatu hari, kawan gadis itu telah membawanya berjumpa dengan seorang ustaz pula. Pada mulaya dia agak keberatan.
“Rasanya, sama sahaja jawapan daripada ustaz-ustaz itu. Tidak payahlah kita pergi membuang masa kita dengan menemui mereka.”
Kawannya yang sudah Islam itu terus memujuk, “Cubalah dahulu sahabat, bukan salah kita mencuba. Thomas Edison dan Kapten Fried juga hanya berjaya setelah ribuan kali percubaannya.”
“Tapi ini soal agama? Aku yakin Tuhan punyai sebab mengapa hanya wanita Islam sahaja yang diperlukan menutup keseluruhan badan kecuali wajah dan kedua tapak tangan. Manakala aurat lelaki hanya dari pusat ke lutut. Pasti ada sebabnya, tapi nampaknya orang Islam sendiri pun kurang mengerti.”
“Engkau perli aku ya?” Kawannya itu mencebik. Dia buat tidak endah. Kawannya mengalah, terus memujuk.
“Baiklah, ini yang terakhir. Kalau jawapannya kurang memuaskan hatimu, kita berhenti.” Tiada cara lain untuk memujuk sahabatnya itu melainkan melafazkan janji sebegitu.
Mereka berdua pergi berjumpa dengan ustaz tersebut.
“Maaf ustaz, inilah sahabat yang saya maksudkan tempoh hari. Alhamdulillah dia sudah mempercayai tentang Islam dan isinya. Cuma yang menyekat dirinya daripada melafazkan syahadah ialah kerana dia tidak dapat menerima alasan mengapa Islam menyuruh penganut wanitanya menutup aurat.”
Ustaz muda yang berjanggut sejemput itu tersenyum. Seakan faham dia pada masalah yang menjadi halangan kepada gadis itu.
Sejurus kemudian dia bersuara kepada gadis itu.
“Boleh saya bertanyakan beberapa persoalan dan awak jawap dengan sejujur mungkin?”
“Boleh, tidak ada masalah.” Tingkah si gadis.
“Baiklah, kamu pernah ke pasaraya?”
“Pernah.”
“Pernah masuk ke kedai emas?”
“Pernah.”
“Pernah ke pasar malam?”
“Pernah.”
Ustaz muda itu terdiam sejenak. Lantas menyambung kembali persoalannya.
“Baik, antara tempat-tempat yang saya nyatakan tadi di manakah dipamerkan atau dijual batu permata, intan berlian, emas perak yang mahal-mahal harganya?”
“Tentu sahaja di kedai emas.”
“Bagaimana keadaannya?”
“Diletakkan di para yang cantik untuk pameran, dilindungi cermin yang kukuh dan kalis peluru untuk mengelak dari dikhianati. Bahkan mungkin tersimpan di dalam peti besi bagi tujuan keselamatannya dan hanya boleh dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja.”
“Bagaimana pula dengan barangan kemas dari jenis yang sama namun barangan tiruan. Di manakah tempat mereka?”
“Jika yang sebegitu, mudah sahaja dijumpai di tepi-tepi jalan, malah sentiasa terdedah dan tidak ada yang sudi mencurinya kerana kemurahannya itu.”
Mata sahabat gadis itu bersinar, “Ada harapan,” katanya di dalam hati.
Ustaz tersebut segera menerangkan maksud analogi itu.
“Begitulah juga Islam yang sentiasa meletakkan wanita di tempat yang tinggi dan perlu sentiasa terjaga. Kewajipan menutup aurat adalah kerana tubuh badan seorang wanita itu adalah sangat berharga dan suci, mana mungkin kemuliaan dan kesucian seorang wanita itu dipamerkan kepada manusia yang tidak sepatutnya? Ibarat emas permata, intan berlian yang sentiasa terjaga dan dilindungi malah diletakkan di dalam bekas yang cantik dan selamat.”
Gadis berdua itu terpana. Jelas, terang lagi bersuluh. Sahabatnya tidak putus mengucapkan syukur.
Dia berkata, “Jika begitu ustaz, mereka yang tidak menutup aurat ibarat barangan murahan yang dapat dijumpai di tepian jalan, boleh dipegang sesuka hati malah harga sangat murah? Jika begitu, benarlah suruhan Allah untuk wanita menutup aurat sepertimana yang termaktub dalam surah an-Nur ayat ke-31.”
Ustaz itu hanya tersenyum sambil mengangguk.
Dan si gadis itu berkata dengan lancar dan tenang,
“Tiada Tuhan melainkan Allah, nabi Muhammad pesuruh Allah.”
Semua melafazkan syukur~
Ya Allah, berikan daku setitis air cintaMU..
Firman Allah SWT ini kurenungi..dan kubaca berulang-ulang kali...
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo'a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."
(al-baqarah:286)
Ya Allah, perjalanan kian jauh namun hakikatnya sudah hampir ke destinasi akhir usia, usiaku hari demi hari kian berlalu pergi. Di manakah daku? Sesungguhnya daku yakini bahwa Allah tidak membebankan sesuatu kaum itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
Pertemuan dan perpisahan adalah suatu ilmu untuk kukutip. Dalam perjalanan mencariMu ya Allah, daku hampir tewas dan aku kini merayu syahdu di pinggir doaku, agar ada waktu yang tersisa ini dapat kuatur untuk hampir padaMu. Daku akui kelemahan diri ini ya Allah, daku benar-benar lemah, tolonglah daku ya Allah! Di saat daku berdiri teguh di sisi sahabat dan keluarga, rupa-rupanya didepan-Mu, daku umpama mawar layu kekeringan. Mawar yang kekeringan air cintaMu, berikan daku sedikit air cintaMu. Sesungguhnya daku dahaga di padang pasir duniawi. Ya Allah, kurniakan daku sahabat-sahabat dan pendamping hatiku insan-insan yang mendekatkan ku kepada-Mu.
Perpisahan itu juga sebuah ilmu untukku. Sahabat, perpisahan adalah sebuah memori, walau entah dengan siapa kita pernah memberi dan menerima kenangan itu. Tapi yang pasti.... bagi siapa yang pernah memberi dan menerima kenangan bersamaku, akan ku abadikan ia sebagai lakaran sebuah lukisan ujian dari Allah buat diriku. Sedikit pun tak pernah terlintas difikiranku akan melukiskan sebuah kenangan yang tragis, penuh emosi, penuh kekecewaan, pengorbanan yang tak berbalas, cinta yang tidak kesampaian, hidup yang tersia-sia, kesetiaan yang tak dihargai.. di manakah daku ya Allah? Apabila ku kutip semula FirmanMu... di dalam ayat-ayatMu memberikan daku jawapan atas semua itu, di sebalik semua itu air mataku menjadi kekeringan. Walau air mata ini hakikatnya sudah tiada lagi, yang ada hanya air mata di hati yang tak terlihatkan. Doa kudus ku berikan dari jauh untuk semua insan di luar sana. Semoga rahmat Allah memayungi hati kita. Membuka hati-hati agar lebih kenal akan cinta Allah dan dunia yang cuma sekadar alam fana ini..
"Wahai diriku, bersabarlah..janganlah berputus asa dalam kehidupan ini. Allah itu dekat, terlalu dekat dari urat lehermu. Jika engkau tidak mendapat apa yang engkau inginkan mungkin Allah akan menggantikan engkau sesuatu pengganti yang lebih baik." Allah tahu, tetapi engkau tidak tahu apa yang ada di depanmu. Kesatlah air matamu itu, gantikannya dengan senyuman penawar hati di setiap musibah itu. selalulah menyebut Alhamdulillah....Wahai diriku, Allah sayang padamu, dia tahu apa saja keburukan dan kebaikan untukmu, jadi terimalah seadanya takdir PenciptaMu itu. Yakini dan berdoa agar diberikan terbaik dalam hidupmu dna itulah yang terbaik apabila terjadi sesuatu ketetapan.
Ya Allah, adakah daku ini terlalu jujur, terlalu baik, terlalu setia, terlalu memberi, terlalu menerima seadanya, terlalu sabar dengan apa pun yang manusia lemparkan padaku, terlalu simpati dan terlalu mudah memaafkan...namun tiadakah sedikit kebahagiaan buatku. Kusedari diri ini penuh dosa, penuh kesalahan dan kekhilafan. setiap waktu ku ingin insafi diri...ku sedar ku tak layak utk syurgaMu, namun kuharapkan mahgfirah dan kasihsayangMu selalu ada dihatiku. Ya Allah, Adakah kerana kebaikan itu daku tak mampu memiliki secebis kebahagiaan dalam hati ini. Ku Cuma inginkan sedikit dan setitis kebahagian itu akan terbit utkku satu hari nanti. Walau setitis cuma, aku amat menghargainya wahai Pencipta hati.
"Wahai Pencipta hati, daku redho akan takdirMu. Di sebalik ini semua daku bersyukur padaMu Ya Rabbi. Syukur ku panjat atas segalanya. Daku kini mengerti... sifat sebagai hambaMu, daku sekadar berusaha, sabar... dan jangan sekali berputus asa, segala natijah dan keputusan hanya Allah yang berhak memutuskan dan mengetahui yang terbaik untuk diri setiap manusia. Jalan terakhir hanya berDOA. DIA Maha Tahu apa yang berlaku dihadapan sana. Cuma.. bagaimana kita ingin menghadapi dugaan hati selepas sesuatu hajat kita tidak kesampaian. Ya Allah! Lemahnya diriku ini rupa-rupanya.
Ya Allah, hakikatnya cinta Mu adalah cinta segala-galanya. Tetapi bisikan syaitan telah mengoda dan mengalihkan cinta ini agar jauh dariMu. Ya Allah, ku tak seteguh siti khadijah, tak sesuci cinta Rabiatul Adawiyah dan sekental iman siti Asiah. Namun ku ingin mati di saat cintaku satu hanya untukMu. Mati dalam perjuangan mendapatkan redhoMu. Terlalu sukarnya mengapai impian itu...
Buat insan yang pernah memberi dan menerima kenangan bersamaku atau bersama insan-insan lain, sesungguhnya kenangan suka atau duka itu adalah sebuah ujian dari Allah utk hati kita. Segala emosi yang lahir adalah merupakan dugaan untuk hati. Kekdang saat kita teruji syaitan telah memainkan jarum memarakkan suasana, dan di saat itu kita terlupa. Astaghfirullahal'azim..sesungguhnya aku telah menzalimi diri sendiri. Wahai diriku, janganlah kecewa atau putus asa, orang beriman apabila terlupa ia akan segera kembali kepada Tuhan, itulah fitrah kejadian manusia....jadikanlah esok adalah hari yang terbaik untuk ku bina hati yang baru bersamaMu.
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan bolehjadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahuisedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah :216)
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." – (Surah At-Taubah :129)
petikan dari novel terbaru cahayakuiman
Jodoh.....Hanya Allah yang Tahu ( Renungan Bersama )
Tidak.........., Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada org jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa2kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa2 lewat sembahyang. Allah mendengar.
Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr Right dan biar seorang diri drpd menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti. Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar2 mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga dtg bersama masalah.
Kita selalu melihat org memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya org itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula org yang memandu kereta mewah(walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.
Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tgh2 bandar raya. Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar2 membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya.
Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat di samping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai org yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.
Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak?
Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?
Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing2 padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata?
Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa2 belum bersedia untuk bersabar dgn kerenah anak2, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.
Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar2 mengerti tuntutan2nya.
Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus2 bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui rahsia2nya.
Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong2nya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang. "
Kadang2 Allah sembunyikan matahari..
Dia datangkan petir dan kilat..
kita menangis dan tertanya-tanya, kemana hilangnya sinar...
Rupa2nya.. Allah nak hadiahkan kita pelangi
Wednesday, December 8, 2010
Tuesday, December 7, 2010
Pujuklah Diri Sendiri!! ( Muhasabah )
Bila kita rasa tertekan, kita mahu orang pujuk. Bila kita rasa nak menangis, kita kalau boleh mahukan crying shoulder.
Tetapi sama ada kita sedar atau tidak, tiada siapa yang bersama dengan kita dari kalangan manusia ini, sepanjang 24 jam penuh.
Saya bercakap dalam konteks manusia. Ya, kita boleh kata Allah ada. Itu satu kenyataan yang tidak punya penafian. Tetapi manusia fitrahnya perlukan manusia lain juga untuk menyokongnya. Jika tidak, Allah tidak akan mengajar kita berukhuwwah, Islam tidak akan mendidik kita untuk bersilaturrahim.
Walaupun mungkin kita mempunyai sahabat terbaik, tetap sahabat terbaik itu tidak dapat bersama kita 24 jam penuh.
Dari kalangan manusia, yang bersama kita 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 4 minggu sebulan, 12 bulan setahun, dan bertahun-tahun dalam sepanjang kehidupan kita, hanyalah kita sahaja.
Maka belajarlah memujuk diri sendiri.
Selain Allah, yang paling memahami diri kita adalah kita sendiri sebenarnya.
Menyediakan dasar yang kuat
Bukan mudah hendak memujuk diri sendiri. Perlukan kekuatan dan tenaga yang besar. Hendak menggembleng fikiran dan rohani agar kekal tenang bukan satu perkara semudah 123.
Justeru untuk melatih kita agar berjaya memujuk diri dalam situasi yang menekan, perlu ada dasar yang sangat kuat, agar mampu menampung tekanan dan bebanan yang menimpa kita.
Apakah dasar itu?
Itulah dia keimanan.
Saya, secara jujurnya, tidak nampak apakah lagi dasar yang lebih utuh daripada dasar ini.
Hanya dengan keimanan sahaja, kita akan berjaya memujuk, merasionalkan, dan menenangkan diri.
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” Surah Ali-Imran ayat 139.
Menangis
Kadangkala, ‘pemujuk’ itu sudah wujud di dalam diri kita. Saya jumpa satu ‘pemujuk’ yang menyeronokkan.
Itulah dia satu makhluk bernama tangisan.
Ya. Menangis. Menangislah. Menangis puas-puas. Lepaskan segalanya.
Hakikatnya, menangis itu sendiri satu pujukan untuk diri. Kita lepaskan bebanan itu dalam bentuk air ibarat membuka empangan yang menahan air.
Tetapi jangan menangis seperti orang biasa. Kita orang beriman adalah manusia luar biasa. Menangislah sambil berfikir. Berfikir akan masalah yang sedang dihadapi, ujian yang sedang ditanggungi. Jika ada apa-apa masalah yang tersimpan di dalam hati, keluarkan semuanya di dalam tangisan yang sedang mengalir.
Biar kita menangis untuk melapangkan jiwa. Bukan tangis kita tangis yang menambah kelemahan. Di samping air mata yang mengalir itu, ambil peluang ini untuk rasa kerdil di hadapan Allah SWT. Rasakan air mata yang tumpah itu, adalah satu bentuk kerendahan kita betapa kita ini manusia dan tak mampu nak tangani ujian ini. Air mata, itu adalah bukti kelemahan kita di hadapan Allah.
Moga-moga dengan terhapusnya ego kita, Allah mendamaikan jiwa, melapangkan hati, dan memberikan kita ketenangan dan jalan keluar kepada masalah kita.
“…kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk); Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.” Surah Al-Israa’ ayat 107-109.
Nanti apabila air mata kita telah berhenti, kita akan rasa satu kelapangan yang besar.
InsyaAllah, ketika itu kita sudah sedikit tenang dan mula kembali menyusun strategi untuk menyelesaikan masalah kita.
Muhasabah
Satu lagi cara memujuk hati adalah dengan muhasabah.
Ya. Dengan kita memandang semula apa yang telah kita lakukan sehingga Allah menguji kita sebegini rupa. Kita lihat kembali apakah yang telah kita lakukan.
“Oh, aku masih tak tinggal dosa yang ni. Patutlah Allah tak bagi aku yang ini”
“Oh, aku silap di sini. Patutlah”
“La, memang salah aku rupanya”
“Hem… benda ni bolah selesaikan macam ni je rupanya. Apa fasal la tak nampak tadi”
Dan begitulah.
Dengan muhasabah, hati akan rasa tenang. Kita akan melihat kembali di mana kesalahan kita. Kita akan dapat menyusun pula rancangan kita yang seterusnya.
Dan orang yang hebat, adalah apabila dia jatuh, dia cepat-cepat naik semula.
Bagaimana dia cepat-cepat naik semula?
Dengan dia mengambil pengajaran atas kejatuhannya = muhasabah.
Hadapi masalah. Jangan lari
Justeru pujuklah diri. Kuatkan hati, teguhkan jiwa, tenangkan kalbu.
Jangan lari dari masalah. Hadapinya. Langkahinya. Lari tidak menyelesaikan apa-apa.
Dan kemungkinan besar selepas kita bersemuka dengan ujian itu, penyelesaiannya adalah apa yang selama ini kita hajat-hajatkan. Mungkin selepas kita tabah menghadapinya, kita akan bertemu dengan sesuatu yang kita harapkan.
Siapa tahu.
Tetapi yang saya tahu, Allah tidak akan menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia.
Termasuklah ujian.
Mesti ada sesuatu yang Allah hendak berikan, Allah hendak ajarkan, Allah hendak beritahu kepada kita dengan hadirnya ujian itu.
Tinggal kita sahaja tidak memerhatikan.
Maka hadapilah ujian.
Pujuklah diri.
Tenanglah jiwa, damailah hati!
Hilal Asyraf
Monday, December 6, 2010
Sunday, December 5, 2010
Untuk Wanita: 2 Tabiat Bawa Ke Neraka.. ( Renungan Bersama )
Sebagai peringatan untuk para wanita dipaparkan suatu peristiwa di suatu Eid, di mana seorang wakil telah dilantik dari kaum wanita untuk bertemu dengan Rasulullah SAW untuk meminta baginda SAW memberi ucapan khusus untuk kaum wanita. Baginda bersetuju dan menyuruh mereka berkumpul di Baabun Nisaa'. Setelah kaum wanita berkumpul, Bilal pergi memanggil Rasulullah SAW. Baginda pun pergi ke sana , dan memberi salam dan mberi tazkirah seperti berikut:
"Assalamu'alaikum, wahai kumpulan/kaum wanita. Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka".
Seorang wanita lalu bangun bertanya, "Apakah yang menyebabkan yang demikian? Adakah sebab kami ini kufur?' Rasulullah SAW menjawab, "Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada 2 tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu ke dalam neraka:
1. Kamu banyak mengutuk/menyumpah
2. Kamu kufurkan kebaikan suami."
Kemudian baginda SAW mengingatkan supaya :
1. Banyak beristighfar
2. Banyak bersedekah.
Keterangan: Yang dimaksudkan dengan mengutuk/menyumpah ialah seperti contoh di bawah:
Contoh 1
Katakan kita lama menunggu bas. Tetapi bas masih tak kunjung tiba, akibat geram dan marah kita mungkin berkata, "Driver bas ni dah mampus agaknya." Perkataan mampus itu termasuk dalam erti kata menyumpah. Lisan wanita memang terlalu cepat menyumpah. Kadang-kadang pakaian, perkakas rumah, hatta suami pun kena sumpah.
Contoh 2
Tengah memasak gas habis. Kita mungkin berkata "Celaka punya gas. Masa ni jugak nak habis." Yang dimaksudkan kufur di sini bukan kufur I'tiqad tetapi bererti tidak mengiktiraf Kebaikan di sini bermaksud tanggungjawab yang telah ditunaikan oleh suami.
Berkaitan dengan hal ini, Rasulullah pernah ditanya oleh seorang suami yang kurang faham : Rasulullah SAW berkata,"Tidakkah pernah engkau jumpa, seorang isteri, jika seumur hidup engkau, engkau berbuat baik kepadanya, tetapi di suatu ketika, disebabkan dia tidak mendapat sesuatu yang dia kehendaki,maka dia akan berkata , "Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak" (Terjemahan langsung dari Arab).
[Dalam masyarakat kita kata-kata di atas mungkin boleh dikaitkan dengan perkataan seperti berikut: "Selama hidup dengan awak, apa yang saya dapat?".][Tak guna sesen pun']
Rasulullah SAW sambung lagi ,'Mana-mana isteri yang berkata, "Awak ini, saya tak nampak satu pun kebaikan awak", maka akan gugur pahala-pahala amalannya.' Saranan Rasulullah SAW yang seterusnya ialah menyuruh kaum wanita banyak beristighfar dan bersedekah, kerana ia dapat menyelamatkan kita dari 2 perkara yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka seperti yang disebutkan tadi.
Fadhilat beristighfar:
a.. Sabda Rasulullah SAW : "Siapa yang melazimkan amalan istighfar 70 X sehari, dia tidak akan ditulis sebagai orang yang lupa (nyanyuk)." Sebelum nyanyuk di hari tua, amalkan sejak muda-muda lagi. Rasulullah SAW menganjurkan kita beristighfar 70 atau 100 kali sehari. Baginda sendiri melakukannya lebih dari 100 X sehari... Adalah diingatkan untuk mencapai target ini, eloklah kita menjadualkan amalan zikir ini dalam amalan-amalan harian kita.
b Sabda Rasulullah SAW : "Siapa yang melazimkan amalan istighfar, akan dikeluarkan Allah dari sifat ham dan hazan. Sifat ham bererti gelisah yang tidak menentu yang sering melanda kaum wanita. Sifat hazan bererti berdukacita"
c. Istighfar juga memurahkan rezeki. Jangan dianggap rezeki itu hanya dalam bentuk wang ringgit atau harta benda. Tetapi ia juga termasuk kesihatan, umur, kasih sayang dan anak-anak. Sedekah tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit. Sedekah juga termasuk:
1. Tuturkata/percakapa n yang baik. Yang paling utama ialah terhadap keluarga sendiri. Ertinya tidak menyakitkan hati. Inilah rahsianya bagaimana hendak menambat hati suami. Diriwayatkan, Saidatina Khadijah ra, isteri Rasulullah SAW yang pertama, tidak pernah menyinggung hati Rasulullah walau sedikit pun. Sepanjang hayat baginda SAW, hati baginda dipenuhi dengan Khadijah, sehingga sering menyebut nama beliau. Kadangkala hingga menimbulkan perasaan cemburu dikalangan isteri-isteri baginda. Diriwayatkan juga, Jibril as setiap kali selepas memberi wahyu kepada Rasulullah sebelum meminta diri, selalu mengirim salam kepada Khadijah. Suatu hari Rasulullah SAW telah bertanya beliau, dan jawab Jibril, "Khadijahlah satu-satunya perempuan yang Allah SWT berkenan tuturkatanya" .
2. Memberi salam.
3. Memaniskan wajah.
Juga terutamanya kepada ahli keluarga. Rasulullah SAW pernah bersabda, "Kamu senyum sahaja pun sudah menjadi sedekah." Terdapat juga suatu syair
Arab yang berbunyi : "Nak buat baik, sangatlah mudah, Maniskan wajah, lembutkan lidah." Maka setelah diberi peringatan oleh Rasulullah SAW marilah kita bertafakkur dan bermuhasabah diri-diri kita. Sekiranya terdapat sifat-sifat buruk yang boleh menjerumuskan kita ke dalam api neraka itu, maka eloklah kita mengubah sikap kita dari sekarang.